Lewis Hamilton dibenarkan untuk berlumba dalam perlumbaan penutup musim Grand Prix Abu Dhabi hujung minggu ini selepas diuji negatif coronavirus.

Juara dunia tujuh kali itu tidak dapat beraksi dalam perlumbaan kedua terakhir tahun ini di Bahrain minggu lalu kerana dikesan positif COVID-19.

Hamilton telah melengkapkan tempoh pengasingan kendirinya dan akan kembali berlumba buat pasukan Mercedes di Litar Yas Marina.

George Russell, yang menggantikan pemandu British itu di Sakhir, akan kembali ke pangkuan pasukan Williams dan Hamilton mahu menamatkan musim gemilangnya dengan satu lagi kemenangan.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Mercedes berkata: "Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 sukacitanya mengesahkan bahawa Lewis Hamilton akan berlumba untuk pasukan ini dalam Grand Prix Abu Dhabi hujung minggu ini.

"Lewis diuji negatif COVID-19 pada Rabu lalu menjelang tamat tempoh pengasingannya di Bahrain. Ini membolehkannya untuk berlepas ke Abu Dhabi pada petang Khamis dan dia sekali lagi diuji negatif selepas tiba.

"Lewis juga telah melengkapkan protokol FIA untuk kemasukannya ke paddock esok dan akan dapat mengambil bahagian dalam perlumbaan hujung minggu ini.

"George Russell akan kembali ke pangkuan Williams Racing bagi perlumbaan terakhir musim 2020," katanya.