Perlumbaan Gran Prix Formula 1 Jepun 2021 terpaksa dibatalkan berikutan "kerumitan berpanjangan" yang berkaitan dengan pandemik koronavirus.

Penganjur perlumbaan itu mengumumkan semalam bahawa saingan di Litar Suzuka berkenaan tidak akan dianjurkan buat tahun kedua berturut-turut.

Krisis pandemik COVID-19 telah menghalang penganjuran perlumbaan itu tahun lalu dan saingan yang sepatutnya berlangsung pada 10 Oktober depan juga kini terpaksa dibatalkan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan F1 berkata: "Selepas beberapa perbincangan dengan pihak penganjur dan pihak berkuasa di Jepun, keputusan yang diambil Kerajaan Jepun adalah membatalkan perlumbaan ini berikutan kerumitan berpanjangan disebabkan pandemik di negara itu.

"Formula 1 kini sedang memperincikan jadual perlumbaan baru yang akan diumumkan keputusan akhirnya pada minggu-minggu akan datang.

"Formula 1 telah membuktikannya pada 2020 dan tahun ini bahawa kami boleh menyesuaikan diri dan mencari penyelesaian terhadap ketidaktentuan ini dan teruja dengan minat yang ditunjukkan di lokasi penganjuran Formula 1 tahun ini dan tahun-tahun akan datang."

Perlumbaan F1 tahun ini akan diteruskan di Belgium bermula 29 Ogos ini, di mana Lewis Hamilton kini berkelebihan lapan mata di depan pencabar terdekat, Max Verstappen, di kedudukan teratas keseluruhan kategori pemandu.