Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim, berseloroh ketika ditanya mengenai keberkesanan peta hala tuju Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), F:30, dengan bertanya sama ada ia merupakan kuih bingka atau kuih keria?

Ia susulan kegagalan Harimau Malaya dalam kempen Piala Suzuki AFF di Singapura baru-baru ini.

Skuad negara gagal ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 selepas menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga di belakang Indonesia dan Vietnam.

Teong Kim, dalam satu perkongsiannya bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, turut berpendapat bahawa khidmat penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula, sudah boleh dilupakan.

Ditanya sama ada F:30 masih berada di landasan yang tepat atau tidak, bekas pemain negara itu, yang pernah menguruskan skuad B-19 Bayern Munich dari 2001-2013, berkata: "Saya nak tanya anda dahulu, apa itu F:30? Kuih bingka atau kuih keria? Adakah ia makanan? Jadi ia adalah road map (peta hala tuju)?

"Anda lihat, semasa mereka memperkenalkan F:30, bekas pengarah teknikal, Peter de Roo, memerlukan satu setengah tahun -- berkerja bersama FAM -- untuk menyedarkan rakyat Malaysia bahawa sistem 4-3-3 adalah sistem terbaik.

"Saya tanya anda lagi, semasa Peter de Roo masih berada di sana, (Datuk) Ong Kim Swee melatih pasukan B-23 tetapi tidak menggunakan sistem 4-3-3, dia menggunakan sistem 3-5-2. Jadi, apakah itu F:30? Adakah ia DNA bola sepak?

"Sekarang saya tanya anda, pasukan mana dalam skuad kebangsaan yang menggunakan sistem 4-3-3? Brad (Maloney, ketua jurulatih skuad B-23) menggunakan sistem 3-4-3.

"Jadi, di manakah DNA anda? Anda memperkenalkan F:30 tetapi tiada orang ikut, jadi apa gunanya anda mempunyai perancangan tetapi tiada pelaksanaan?" katanya

Ditanya mengenai peranan De Paula dalam skuad kebangsaan, Teong Kim menambah: "Sudah cukup-cukuplah, usianya sudah 35 tahun bukan? Bagilah (peluang) kepada orang muda. Orang muda akan sentiasa berlari mengejar bola.

"Di Jerman, kami boleh katakan yang keberanian, bersaing dan mengejar bola merupakan satu keperluan dalam bola sepak.

"Kami tidak bercakap mengenai kemampuan memahami taktikal, kesan psikologi dalam perlawanan, kami tidak bercakap tentang perkara itu.

"Di Malaysia, kita hanya bercakap mengenai keperluan dalam sesuatu perlawanan, dia mana ia tidak banyak diperkatakan di Eropah.

"Ia sesuatu yang memalukan, memang memalukan.

"Kerana orang yang mahu bermain bola sepak, sesiapa sahaja yang hendak bermain bola sepak, mesti kejar, mesti lari, mesti ada kemahuan untuk memenangi bola. Semangat itu mesti ada. Kalau tiada, jangan main bola.

"Kerana ia merupakan satu keperluan untuk bertanding.

"Saya mungkin boleh bercakap dengan anda sekarang tetapi mereka tidak akan peduli.

"Kerana apa? Kerana mereka tidak mahu mendengar (pandangan) orang yang pakar, yang faham tentang bola sepak.

"Saya berani kata yang saya pakar. Mungkin ada sesetengah orang akan kata 'dia ingat dia pakar sangat ke?' tapi saya boleh katakan yang saya memang pakar.

"Saya memang ada kepakaran dalam apa yang saya buat. Saya tahu apa yang saya cakapkan.

"Dengarlah apa yang saya cakap kerana saya bukannya mahu membantu FAM, saya mahu membantu pemain-pemain bola sepak di Malaysia dan juga jurulatih-jurulatih di Malaysia.

"Kerana apa yang saya lihat, ia juga menimbulkan persoalan buat diri saya.

"Ia bukan salah pemain, saya tidak menyalahkan pemain kerana apa yang mereka tidak diajar, mereka tidak dapat melakukannya.

"Macam mana mereka hendak tahu? Betul tak?

"Yang salah adalah jurulatih mereka sebelum mereka menjadi pemain senior.

"Apabila mereka tidak diberikan pendidikan yang betul sejak dari awal, inilah yang terjadi," katanya lagi.