Pengurus Everton, Marco Silva, mendedahkan spekulasi dia mahu mendapatkan pemain sayap Barcelona, Malcom, bulan ini adalah sesuatu yang tidak benar.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu membawa masuk Andre Gomes menerusi pinjaman serta Lucas Digne dengan nilai GBP19.5 juta (RM102 juta) daripada pasukan Catalan itu ketika jendela perpindahan musim panas lalu dan langkah itu dilihat memberi manfaat kepada The Toffees.

Laporan mengatakan bahawa Malcom merupakan nama terbaru Barca yang disasarkan oleh Everton tatkala pemain Brazil itu hanya tampil sekali dalam kesebelasan utama bagi saingan LaLiga sejak berhijrah daripada Bordeaux, Julai lalu.

Bagaimanapun, Silva menegaskan tiada sebarang perbincangan berlaku melibatkan pemain berusia 21 tahun itu dengan berkata: "Tidak, tiada apa-apa."

Silva juga menegaskan dia tidak akan memaksa Everton untuk berbelanja bulan ini susulan prestasi buruk yang dilalui, menyaksikan The Toffees hanya menang sekali dalam lapan aksi terakhir liga.

"Kami tidak boleh mengubah idea dan falsafah setiap minggu, tidak kira menang dua perlawanan atau tewas dua kali," tambah Silva.

"Keputusan terakhir tidak begitu baik buat kami tetapi ia merupakan detik untuk kami mengubah sesuatu dan menunjukkan kualiti kami.

"Ia bukan disebabkan apa yang perlu kami ubah dalam setiap idea dan bukan juga kerana kami memerlukan sesetengah perkara. Kami tahu kemampuan kami dan lihat nanti apa yang boleh diraih."

Silva dijangka akan membenarkan James McCarthy dan Oumar Niasse untuk berpindah sambil kedua-duanya dikaitkan dengan penghijrahan ke West Bromwich Albion dan Crystal Palace.

"Saya faham situasi itu. Kini adalah waktu untuk semua spekulasi muncul. Namun, tiada apa yang terbaru," ujar Silva.

"Kami tidak bercadang meminjamkan pemain. Saya mahu mereka fokus kepada skuad kami dan bersedia untuk beraksi."