Penyerang Everton, Dominic Calvert-Lewin, tidak dapat diturunkan dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea selepas gara-gara kecederaan lutut ketika sesi latihan.

Pemain antarabangsa England itu menghabiskan sebahagian besar musim lalu dipinggirkan tetapi kembali ke pangkuan skuad untuk empat perlawanan terakhir liga yang menyaksikannya meledak dua gol untuk membantu mengekalkan The Toffees di peringkat teratas.

Tetapi pemain berusia 25 tahun itu kini akan kembali ke bilik rawatan di Finch Farm selepas mengalami kecederaan di lututnya, semalam.

Everton menagih khidmat Calvert-Lewin secepat mungkin dengan harapan dia boleh kembali ke prestasi yang menyaksikan dia menyumbat 16 gol dalam 33 penampilan liga dalam kempen 2020-21.



Pengurus The Toffees, Frank Lampard, memberitahu wartawan: "Kami sedang menilai kecederaan Dom. Tiada jangka masa yang boleh disahkan lagi tetapi kami cukup pasti tahap kecederaannya, jadi kami berharap ia bukan jangka panjang.

"Kami akan merinduinya untuk Chelsea. Dia kelihatan dalam keadaan fizikal yang hebat dan berlatih dengan sangat baik. Ia adalah kecederaan aneh dalam latihan, ia boleh berlaku.

"Dia memang tidak bernasib baik tetapi kami perlu mencari penyelesaian bagi memastikan diri kami tetap ampuh tanpa Dominic sebelum dia boleh kembali."