Tonggak tengah Selangor, Evan Dimas, mahu memastikan pasukannya merakam keputusan positif berdepan PKNS FC dalam aksi Liga Super malam ini dalam usaha untuk terus mengukuhkan kedudukan liga.

Bagi pemain kebangsaan Indonesia ini, kemenangan 2-1 ke atas PKNS sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran.

Evan menyedari PKNS mahu menebus kekalahan itu apabila berdepan Selangor di Stadium Shah Alam dan pasti tampil lebih ampuh kali ini.

"Secara peribadi, saya sudah bersedia untuk berdepan PKNS dan kami telah meraih kemenangan dalam pertemuan sebelum ini. Kami akan terus bekerja keras bagi memastikan meraih kemenangan dalam perlawanan kali ini," katanya.

Sementara itu, pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir, optimis pasukannya mampu mengekalkan aksi konsisten.

Apa yang penting buat Nazliazmi adalah kerjasama di antara pemain ketika beraksi yang merupakan kunci untuk mengatasi PKNS.

"Kemenangan dalam setiap perlawanan merupakan hasil permainan yang ditampilkan oleh setiap pemain dalam pasukan," kata Nazliazmi.

Imej: Asiana