Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, mencadangkan Kejohanan Eropah (Euro) akan turut menjadi temasya dwitahunan sekiranya cadangan baru mengenai penganjuran Piala Dunia berjaya.

Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA, Arsene Wenger, telah mempromosikan idea untuk mengubah format Piala Dunia yang akan berlangsung setiap dua tahun, tetapi idea itu ditentang keras oleh Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL).

FIFA dalam sidang kemuncak global mereka bulan lalu menjelaskan kepada ahlinya bahawa perubahan itu akan menjadikan bola sepak menikmati lebih banyak keuntungan dengan kitaran penganjuran dua tahun.

Infantino, yang berdepan tentangan kuat di Eropah dan Amerika Selatan, kini telah menyemarakkan lagi api kemarahan badan induk benua itu dengan mencadangkan Euro akan berlangsung lebih kerap sekiranya rancangan Piala Dunia secara dwitahunan menjadi kenyataan.




Ditanya oleh saluran Itali, Radio Anch'io, apa yang akan berlaku kepada kejohanan antarabangsa utama Eropah susulan cadangan Piala Dunia itu, Infantino menjawab: "Euro juga akan diadakan setiap dua tahun.

"Di Eropah, tentangan wujud kerana setiap minggu Piala Dunia diadakan di sana berikutan ia adalah kancah terbaik yang sarat dengan pemain terbaik dunia, tetapi ia bukan berlaku di seluruh dunia: Untuk sebulan dalam tempoh setahun, kami perlu cari jalan untuk menyatukan seluruh dunia dengan bola sepak."

Bulan lalu, UEFA menerbitkan satu laporan berdasarkan tinjauan bebas yang menyimpulkan cadangan itu sebagai membimbangkan, hanya beberapa jam sebelum FIFA mengeluarkan kajian yang melaporkan majoriti ahlinya menyokong penganjuran Piala Dunia setiap dua tahun.