Manuel Neuer berkata Jerman menikmati kepulangan ke Wembley bertemu England dalam pusingan 16 Euro 2020, 25 tahun selepas mengecewakan mereka dalam kejohanan tersebut.

Jerman berdepan penyingkiran daripada Kumpulan F awal pagi tadi sehinggalah pemain gantian Leon Goretzka menjaringkan gol penyamaan ketika seri 2-2 dengan Hungary di mana meletakkan skuad kendalian Joachim Loew itu mara ke pusingan 16.



Jerman kini berdepan Gareth Southgate dari England di London pada Selasa depan untuk memburu tiket ke suku akhir.

"Aksi yang mendebarkan, sengit hingga penghujung perlawanan," kata Neuer.

"England bakal mempamerkan aksi yang berbeza. Kami mahu terus maju dan Wembley sesuai untuk kami," tambahnya sambil tersengih.

England akan mencari peluang untuk menebus kekalahan separuh akhir Euro 96 kepada Jerman di Wembley apabila tuan rumah tewas menerusi penentuan penalti manakala Jerman mara ke final dan menang apabila mengatasi Republik Czech.

Hungary mendahului perlawanan di Munich menerusi kapten Adam Szalai sebelum Kai Havertz menanduk masuk gol penyamaan dalam separuh masa kedua namun pelawat kembali meletak pelawat di depan kurang dua minit kemudian menerusi Andras Schaefer.

Goretzka menyelamatkan maruah Jerman apabila pemain tengah Bayern Munich itu hadir menerusi bangku simpanan untuk menyamakan kedudukan enam minit sebelum tamat perlawanan.

"Saya gembira, kami tidak mempunyai keraguan dan penuh keyakinan menghadapi mana-mana pasukan dalam kejohanan ini," kata Goretzka.

Jurulatih Jerman, Loew, mengakui pasukannya melakukan banyak kesalahan, tetapi berjanji "kami akan lebih baik menentang England, saya dapat menjanjikannya."