Luke Shaw membalas kritikan tanpa henti bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho, dengan pertahanan sayap The Red Devils dan England itu berkata "amat jelas saya berada dalam fikirannya".

Mourinho merupakan pengurus Shaw di United dari 2016 hingga ketika dia dipecat pada 2018 dan pengendali berbangsa Portugis itu kerap mengkritik pemain kebangsaan England itu secara terang-terangan di Manchester.

Shaw pula semakin meningkat sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih pasukan itu tetapi Mourinho - yang kini menjadi ketua jurulatih pasukan Serie A, AS Roma -- masih mengkritik cara Shaw mengambil sepakan penjuru buat England dalam Euro 2020.

Selepas England menewaskan Republik Czech dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Mourinho berkata kepada talkSPORT: "Perkara negatif yang saya boleh katakan adalah sekali lagi mengenai cara buruk mereka mengambil sepakan sudut.

"Servis yang dilakukan itu amat buruk. Mereka mempunyai ramai pemain untuk mengambil sepakan sudut. Lintangan yang dilakukan tidak dapat sampai ke pemain pertama.

"Luke Shaw, pada pandangan saya, bermain amat baik malam ini tetapi melakukan sepakan penjuru dengan amat buruk. (Kalvin) Phillips juga sama.

"England mempunyai kekuatan yang hebat di peringkat ini dan akan ke pusingan kalah mati. Satu sepakan penjuru dapat menentukan keseluruhan permainan," katanya.

Sebagai respons kepada kritikan terbaru Mourinho itu, Shaw -- yang kembali terpilih mewakili negaranya berikutan peningkatan prestasi di peringkat kelab -- berkata: "Saya tidak faham. Saya tidak tahu mengapa dia masih terus mencari salah saya.

"Saya tidak berasakan gerakan set-piece itu seburuk yang diperkatakannya. Mungkin ada sekali saya melakukannya dalam babak kedua, sepakan penjuru itu tidak sampai ke pemain pertama. Tetapi itu hanya satu daripada tiga. Dua atau tiga lagi, saya tidak fikir ia seburuk yang diperkatakannya.

"Lihat, dia perlu melakukan tugasnya. Saya sudah terbiasa dengan perkara buruk yang dia perkatakan terhadap saya, jadi saya hanya akan mengabaikannya.

"Suaranya amat jelas terlalu lantang. Dia gemar bercakap mengenai saya seperti yang semua orang dapat lihat akhir-akhir ini.

"Tetapi itu hanyalah pandangan peribadinya. Dia boleh berkata apa yang dia mahukan, saya hanya akan dokus mengenai diri saya. Saya mengambil set-piece di United, jadi ia bukanlah sesuatu yang saya belum bersedia untuk melakukannya," katanya.

Shaw menambah: "Ada sesetengah pemain di sini bertanya "apa masalah dia?' dan 'kenapa dia perlu terus bercakap?'.

"Harap-harap dia akan memperoleh ketenangan dan berhenti risau mengenai saya. Amat jelas saya sentiasa dalam fikirannya dan dia banyak berfikir mengenai saya. Saya tidak fikir ada di antara anda yang menyedari sejak dua atau tiga tahun sewaktu saya bersamanya dan sebarapa buruk (kritikannya) pada waktu itu. Apa yang dikatakannya ketika ini tiada apa-apa jika dibandingkan dengan sebelum ini.

"Saya rasakan adalah lebih mudah untuk tidak mengendahkannya sekarang dan adakalanya saya ketawa mengenainya.

"Tetapi adalah lebih baik untuk mengabaikannya. Saya sedar jika masanya tiba, saya dapat mengatasinya dan saya sudah melakukannya. Saya kini sudah boleh fokus untuk menjadi lebih baik dan meningkat," katanya lagi.