Jack Grealish menjawab kritikan selepas England tewas kepada Itali dalam penentuan sepakan penalti final Euro 2020 awal pagi semalam dengan menegaskan bahawa dia mahu mengambil sepakan itu.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu tewas 2-3 dalam penentuan sepakan penalti berikutan tiga kegagalan berturut-turut daripada Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka.

Perlawanan final itu berakhir 1-1 sepanjang tempoh 120 minit selepas gol Leonardo Bonucci dalam babak kedua memadamkan jaringan pembukaan Luke Shaw pada awal permainan.

Pemilihan pengambil sepakan penalti England mencetuskan perdebatan selepas kekalahan itu, di mana Southgate berkata dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya memilih pemain dalam pentuan itu.

Rashford dan Sancho dimasukkan pada minit-minit akhir masa tambahan manakala pemain muda Arsenal, Saka, tidak pernah mengambil sepakan penalti sepanjang kariernya.

"Jika anda adalah (Raheem) Sterling atau Grealish, anda tidak boleh duduk di sana dan membenarkan pemain muda (Saka) mengambil sepakan penalti sebelum anda, anda tidak boleh seperti itu," kata bekas pemain Manchester United, Roy Keane kepada ITV.

"Anda tidak boleh membenarkan pemain berusia 19 tahun yang gugup mengambil sepakan sebelum anda. Mereka mempunyai lebih banyak pengalaman, Sterling sudah memenangi banyak trofi, mereka perlu tampil lebih ke depan daripada pemain-pemain muda itu."

Grealish menciap satu kiriman Twitter sebagai respons kepada kenyataan Keane itu dengan berkata: "Saya katakan yang saya mahu mengambilnya!!!!

"Pengurus telah membuat pelbagai keputusan yang tepat sepanjang kejohanan ini dan dia melakukannya malam ini.

"Tetapi saya tidak mahu ada yang mengatakan saya tidak mahu mengambil 'peno' pada ketika saya katakan yang saya mahu...."