Perancis, England, Republik Czech, Sweden dan Switzerland sah layak ke pusingan 16 Euro 2020 berikutan beberapa keputusan peringkat kumpulan awal pagi tadi.

Dengan Finland dan Ukraine, masing-masing menamatkan saingan Kumpulan B dan C dengan hanya tiga mata, empat negara lain sah melayakkan diri ke pusingan kalah mati menjelang perlawanan ketiga mereka, di mana Switzerland turut mengesahkan kelayakan ke pusingan berikutnya.

Finland dan Ukraine pula hanya boleh menunggu dan berharap mereka akan dapat meneruskan kemaraan sebagai salah satu daripada empat pasukan di tangga ketiga terbaik selepas tewas dalam perlawanan terakhir dan menamatkan saingan itu dengan hanya tiga mata.

Kekalahan 0-2 kepada Belgium menyaksikan Finland terlepas kedudukan kedua Kumpulan B kepada Denmark, yang membelasah Russia 4-1 di Copenhagen.

Ukraine pula tewas 0-1 kepada Austria dan melepaskan dua kedudukan teratas kepada skuad kendalian Franco Foda itu -- yang melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama sepanjang penyertaan mereka dalam Kejohanan Eropah.

Switzerland pula akan mengiringi Itali dan Wales daripada Kumpulan C sebaik mengumpulkan empat mata di tangga ketiga.

Republik Czech dan England pula akan bertemu sesama sendiri di Wembley awal pagi esok dengan menyedari mereka telah layak ke pusingan seterusnya memandangkan masing-masing telah mengumpulkan empat mata.

Turut bernasib sama adalah pasukan juara dunia dan pendahulu Kumpuan F, Perancis, yang telah mengumpulkan empat mata menjelang pertemuan getir dengan Portugal awal pagi Khamis ini.

Pendahulu Kumpulan E, Sweden, boleh berasa selesa menjelang pertemuan dengan Poland dengan menyedari mereka tetap akan layak tanpa mengira keputusan perlawanan itu setelah menduduki tangga teratas juga dengan empat mata.