Apabila dua pasukan gergasi bertembung menjelang fasa akhir kejohanan, pada saat inilah banyak pihak yang begitu teruja melihat satu pertembungan menarik.

Dominasi Sepanyol sekitar sedekad lalu -- merangkul kejayaan Euro 2008, Euro 2012 dan Piala Dunia 2010 -- dipengaruhi menjadi acuan kejayaan era Pep Guardiola yang menikmati dua gelaran Liga Juara-Juara (UCL) bersama Barcelona.

Gaya permainan yang diasaskan gerakan tersusun, rumit, agresif, cerdas yang dilabel sebagai tiki-taka (walaupun dinafikan oleh Guardiola yang menganggapnya sebagai satu label yang tidak tepat), amat dikagumi dan digeruni.

Bagaimanapun, era itu dianggap sudah berakhir sebaik mereka terkandas di peringkat kumpulan Piala Dunia 2014.

Namun, La Roja kembali menemui identiti sebenar mereka menerusi kejayaan mara ke separuh akhir Euro 2020 untuk berdepan Itali -- sebuah pasukan yang dikatakan memiliki gaya permainan mirip Sepanyol -- di Stadium Wembley awal pagi esok.

Sergio Busquets, Koke dan Pedri akan berentap dengan Jorginho, Marco Verratti dan Nicolo Barrella dalam misi mengintai tiket ke final. Mereka gemar menguasai perlawanan, memiliki pemain yang sentiasa melakukan gerakan dan menjelmakan tempo yang sesuai.

Elemen utama dalam perhitungan kali ini pastinya menjurus ke arah keupayaan Jorginho dan Pedri.

Pemain muda Sepanyol itu dilabel sebagai jelmaan Xavi dan Andreas Iniesta selepas menghasilkan 381 hantaran. Tiada pemain tengah lain dalam edisi ini yang mencipta lebih banyak peluang sepertinya.

Koke turut cemerlang dengan 358 hantaran sementara pencapaian Busquets (246) pasti akan lebih tinggi sekiranya peranannya tidak ambil-alih oleh Rodri dalam dua perlawanan pembukaan berikutan tersisih gara-gara positif COVID-19.





Verratti juga pada awalnya terpinggir akibat kecederaan dan dia semakin menyerlah.

Tiada pemain lain yang menciptakan 10 peluang berharga dalam permainan terbuka daripada bintang Paris Saint-Germain itu sementara Pedri pula sembilan kali.

Baik Sepanyol (34) mahupun Itali (25), mereka muncul pasukan terbaik dalam soal menjana gerakan dengan melakukan 10 atau lebih hantaran yang diakhiri dengan percubaan atau sekurang-kurangnya satu sentuhan di dalam kotak penalti lawan.

"Penguasaan akan menjadi elemen pertama perlawanan ini," kata ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique, dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

"Mereka mampu bertahan jika perlu tetapi mereka lebih selesa dengan bola. Kami juga ingin menguasai permainan."