Luis Enrique mengatakan bahawa adalah sesuatu yang baik Gerard Moreno terlepas banyak peluang dalam kemenangan Sepanyol menentang Switzerland berbanding Alvaro Morata berikutan kritikan baru-baru ini yang ditujukan kepada penyerang Juventus itu.

Juara Eropah tiga kali, Sepanyol menempah slot ke separuh akhir Euro 2020 awal pagi tadi dengan kemenangan menerusi penentuan penalti yang dramatik ke atas 10 pemain Switzerland.

La Roja, yang memerlukan masa tambahan utnuk mengatasi Croatia dalam pusingan 16, mendahului menerusi jaringan sendiri Denis Zakaria di St Petersburg sebelum Xherdan Shaqiri menyamakan kedudukan.

Walaupun selepas ketiadaan Remo Freuler yang dilayangkan kad merah, skuad kendalian Luis Enrique gagal mencari jalan untuk menembusi gawang selepas Yann Sommer menafikan 10 percubaan secara keseluruhan.

Gerard menggantikan Morata dan mengharungi saat yang sukar, penyerang Villarreal itu terlepas deretan peluang terhidang untuk memenangi perlawanan sebelum memperolehinya menerusi penentuan penalti.

Morata mendedahkan minggu lalu bahawa dirinya dan keluarga menjadi sasaran ancaman daripada penyokong Sepanyol, dan Luis Enrique lega penyerang itu tidak lagi mendapatkan kritikan itu dalam perlawanan awal pagi tadi.

"Nasib baiklah Gerard Moreno yang gagal mengambil peluang. Jika Morata, anda sudah pasti memberikan kecaman terhadapnya," kata ketua jurulatih Sepanyol itu selepas kemenangan aksi suku akhir.

"Cukup jelas apa yang dialami Morata dan apa yang dialami oleh Gerard. Mereka berdua adalah pemain saya dan saya sangat menyayangi mereka."



Dalam penentuan penalti, mereka ketinggalan Sergio Busquets gagal menyempurnakan percubaannya, tetapi Fabian Schar, Manuel Akanji dan Ruben Vargas turut gagal menemui jaringan buat Switzerland.

Ditanya jika berasa cemas menyaksikan penentuan penalti itu, Luis Enrique berkata, "Ini adalah masa yang tenang bagi saya kerana kami sudah mengusahakan semuanya. Tidak ada perkara lain yang dapat dilakukan.

"Menang atau kalah menerusi penalti, pasukan telah melakukannya dengan baik berdasarkan penilaian saya. Bagaimana mereka menanganinya, bagaimana mereka bermain, bagaimana mereka mewakili Sepanyol.

"Kami sangat bangga. Tidak masuk akal jika berfikir bahawa kami, atau mana-mana pasukan yang mara ke separuh akhir, akan memutuskan untuk mencapai setakat ini -- kami semua mahu mara ke final dan menang."