Kekalahan Sepanyol dalam penentuan sepakan penalti kepada Itali akan terus menghantui Alvaro Morata selepas kegagalannya dalam penentuan itu tetapi La Roja tidak akan ke masa tambahan tanpa gol bersejarah daripada penyerang itu.

Azzurri kendalian Roberto Mancini kelihatan akan layak ke final sebaik Federico Chiesa menjaringkan gol pembukaan tetapi Morata -- yang dimasukkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua -- menyamakan kedudukan pada minit ke-80 untuk mengheret perlawanan itu ke masa tambahan.

Ia merupakan kali pertama Morata tidak tersenarai dalam kesebelasan utama selepas dikeluarkan pada awal babak kedua pertemuan suku akhir dengan Switzerland.

Walaupun penyerang itu, yang sedang dipinjam Juventus daripada Atletico Madrid, kerap mengecewakan Sepanyol dalam Euro 2020 -- di mana Opta merekodkan pemain itu telah melepaskan enam peluang keemasan dan lebih banyak daripada mana-mana pemain dalam kejohanan itu -- dia sentiasa dipertahankan oleh ketua jurulatih La Roja, Luis Enrique.

Jurulatih itu mempertaruhkan trio dinamik yang dibarisi Dani Olmo, Ferran Torres dan Mikel Oyarzabal, yang sering menggugat dua pertahanan tengah veteran Itali tetapi selepas Sepanyol ketinggalan, dia kembali menurunkan penyerang kesayangannya itu.

Morata menandakan kemasukannya dengan gol penyamaan La Roja untuk kini mengumpulkan tiga jaringan dalam Euro 2020 dan yang keenam dalam Kejohanan Eropah, sekali gus mencipta rekod baru dalam sejarah bola sepak Sepanyol.

Penyudah kaki kirinya itu menyaksikan Morata mengatasi rekod terdahulu yang dipegang Fernando Torres selain turut menjadi pemain kedua menjaringkan tiga gol dalam dua edisi Kejohanan Eropah selepas Cristiano Ronaldo.

Bagaimanapun, sepakan penalti Morata diselamatkan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, sebelum Jorginho mengesahkan kemaraan Azzurri ke final sebaik menewaskan Unai Simon.