Roberto Martinez mengesahkan bahawa dia akan meneruskan tugasnya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Belgium biarpun dikecewakan dalam suku akhir Euro 2020.

Pasukan di ranking nombor satu dunia itu merekodkan kemenangan bersih di peringkat kumpulan dan menewaskan Portugal dalam pusingan 16 sebelum cabaran mereka ditamatkan Itali.

Terdapat cadangan untuk Martinez meletakkan jawatannya selepas sekali lagi gagal memenangi kejohanan utama walaupun membimbing pasukan yang digelar "generasi emas" itu.

Bagaimanapun, pengurus berbangsa Sepanyol itu mengesahkan bahawa dia akan meneruskan komitmennya sebagai ketua jurulatih dan pengarah teknikal Persatuan Bolasepak Diraja Belgium.

"Kekecewaan selepas tewas kepada Itali amat besar tetapi fokus kami telah beralih ke arah kelayakan Piala Dunia pada September depan dan final Liga Negara-Negara Eropah sebulan selepas itu.

"Hanya apabila saya rasakan yang saya sudah tiada apa lagi untuk diberikan, barulah saya akan pergi. Saya juga akan meneruskan tugas saya sebagai pengarah teknikal. Itulah perancangannya.

"Terdapat banyak cakap-cakap mengenai masa depan saya: sebelum, sewaktu dan selepas kejohanan ini.

"Saya sentiasa rasakan adalah sukar untuk bercakap mengenai diri saya kerana ia bukan tentang saya. Ia tentang mencipta keadaan terbaik di mana bola sepak akan berhasil dan berkembang.

"Saya masih dapat lihat banyak tenaga dalam pasukan ini dan projek ini akan membangun. Pasukan ini sudah bersedia untuk melupakannya dan kembali ke Padang. Masih ada masa sebelum September depan," katanya.