ITALI 1 WALES 0

Itali meneruskan rentak cemerlang mereka dengan merekodkan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan Euro 2020 apabila menewaskan Wales, yang beraksi dengan 10 pemain, 1-0 di Rome awal pagi tadi.

Dengan kelayakan ke pusingan 16 telah disahkan lebih awal, ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini, memilih untuk menggunakan barisan kedua dalam perlawanan kali ini dan kesempatan itu dimanfaatkan pemain yang terpilih untuk menyerlah bersama Azzurri.

Bahkan, jaringan tunggal yang diperoleh dalam perlawanan itu disumbangkan oleh pemain barunya, di mana Matteo Pessina menjadi pemain Itali termuda menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya selaku kesebelasan permulaan dalam kejohanan utama sejak Antonio Cassano melakukannya dalam Euro 2004.

Andrea Belotti, salah seorang daripada lapan pemain yang diperkenalkan Itali dalam pertemuan kali ini, hampir menemui sasaran menerusi percubaan akrobatiknya pada awal permainan sebelum Pessina menolak masuk bola daripada sepakan percuma Marco Verrati ke gawang lawan pada minit ke-39.

Impian Wales untuk kembali bangkit dalam perlawanan itu musnah sebaik Ethan Ampadu dilayangkan kad merah susulan terjahan lewatnya ke atas Federico Bernardeschi manakala Gareth Bale pula terlepas peluang keemasan menerusi sepakan volinya yang tersasar dari gawang Gianluigi Donnarumma.

Dengan kemenangan terbaru ini, Itali telah merekodkan 11 kemenangan berturut-turut dalam kesemua kejohanan dan tidak pernah tewas sepanjang 30 aksi terakhir.