Itali berdepan tamparan menjelang sepak mula Euro 2020 awal pagi esok apabila Lorenzo Pellegrini sah akan terlepas kejohanan itu gara-gara mengalami kecederaan dalam sesi latihan.

Pemain tengah AS Roma itu, yang dikaitkan untuk menyertai Barcelona dan Liverpool sepanjang beberapa minggu ini, sepatutnya akan terlibat dengan kejohanan antarabangsa pertamanya selepas disenaraikan dalam skuad kendalian Roberto Mancini itu.

Dia diturunkan sebanyak tiga kali di peringkat kelayakan, di mana hanya Marco Verratti, Jorginho dan Nicolo Barella merupakan pemain tengah yang diturunkan lebih banyak berbanding pemain itu.

Pemain berusia 24 tahun berkenaan menikati musim kukuh di Giallorossi dengan penglibatannya dalam 13 jaringan (tujuh gol dan enam bantuan) hanya dapat diatasi lapan pemain lain -- walaupun kebanyakan mereka bermain dengan peranan yang lebih ke arah serangan seperti Henrikh Mkhitaryan dan Josip Ilicic.

A post shared by Lorenzo Pellegrini (@lorepelle7)


Ketiadaannya pasti memberikan kesan buat Azzurri, yang telahpun kehilangan Stefano Sensi manakala Verratti pula masih belum pasti dapat diturunkan menjelang perlawanan dengan Turki awal pagi esok.

Itali turut mengesahkan bahawa mereka telah meminta kebenaran daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk menggantikan Pellegrini dalam skuad mereka dengan pemain tengah Fiorentina, Gaetano Castrovilli, 24, dilihat sebagai pilihan paling tepat ketika ini.