Didier Deschamps memuji Hungary kerana mempamerkan permainan umpama hidup dan mati ketika mengikat pasukannya, Perancis, 1-1 dalam perlawanan Kumpulan F, Euro 2020 di Arena Puskas malam tadi.

Gol Attila Fiola sebelum waktu rehat meletakkan Hungary, yang mendapat sokongan 61,000 penonton, hampir mencipta kejutan untuk menumbangkan pasukan juara dunia itu.

Perancis pula mensia-siakan beberapa peluang terhidang, antaranya menerusi percubaan Ousmane Dembele yang terkena tiang, sebelum menyamakan kedudukan.

Menerusi satu hantaran jauh penjaga gol, Hugo Lloris, Kylian Mbappe menghulurkan bola ke depan gawang lawan dan Antoine Griezmann memanfaatkan bola yang gagal dikeluarkan pertahanan, Wili Orban, untuk menjaringkan gol penyamaan Les Bleus.

Perancis akan mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 seandainya memenangi perlawanan itu tetapi kegagalan berkenaan bermakna pasukan juara dunia itu perlu menunggu sehingga perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk melakukannya.

Hungary tewas 0-3 kepada Portugal dalam perlawanan pertama awal minggu ini tetapi Deschamps menegaskan tiada apa untuk dimalukan apabila Perancis diikat oleh pasukan di ranking ke-37 dunia itu.

"Hungary meletakkan perlawanan ini seperti hidup dan mati. Ia bagus untuk mereka," kata Deschamps kepada beIN SPORTS.

"Kami mempunyai beberapa peluang dalam babak pertama tetapi ketinggalan melalui satu-satunya peluang mereka.

"Mereka mempunyai penyokong yang ramai dan amat jelas ia memberikan mereka kekuatan.

"Mereka bertahan dengan baik,sama seperti ketika hujung perlawanan menentang Portugal.

"Ia satu mata. Ia bukanlah seperti yang kami mahukan tetapi berdasarkan konteks seperti ini, kami perlu menerimanya," katanya.

Seterusnya, Perancis akan melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang juara bertahan, Portugal, di venue sama.