Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, enggan menjawab soalan mengenai masa depannya bersama pasukan itu selepas skuad juara dunia berkenaan disingkirkan Switzerland dalam pusingan 16 Euro 2020 awal pagi tadi.

Perancis tewas 4-5 kepada Switzerland dalam penentuan sepakan penalti selepas sepakan terakhir Kylian Mbappe diselamatkan Yann Sommer, di mana mereka mensia-siakan kelebihan 3-1 dalam 15 minit terakhir masa sebenar di Bucharest.

Kekalahan itu bermakna Perancis gagal ke suku akhir kejohanan utama buat kali pertama sejak Piala Dunia 2010.

Deschamps masih mempunyai kontrak untuk mengemudi Les Bleus sehingga 2020 sejak mula memegang jawatan itu pada 2012 -- memenangi Piala Dunia 2018 dan menamatkan Kejohanan Eropah selaku naib juara pada 2016.

Penyingkiran Perancis dalam Euro 2020 menimbulkan persoalan mengenai masa depan jurulatih itu selepas bekas pengendali Real Madrid dan bekas pemain kebangsaan skuad kebangsaan itu, Zinedine Zidane, turut dikaitkan untuk menduduki kerusi panas berkenaan.

"Itu bukan satu persoalan," kata Deschamps kepada beIN SPORTS selepas kekalahan itu.

"Terdapat perpaduan dan solidariti dalam pasukan ini.

"Saya bertanggungjawab apabila perkara yang buruk berlaku. Saya ada untuk mereka, mereka juga ada untuk saya.

"Kami memerlukan masa untuk menghadapinya, ia sesuatu yang menyakitkan malam ini," katanya.

Deschamps juga tidak mahu menyalahkan Mbappe atas kegagalan pemain itu menyempurnakan sepakan penalti dengan menambah: "Tiada siapa boleh berasa sakit hati dengannya.

"Apabila anda mengambil tanggungjawab itu, perkara seperti ini bolek berlaku.

"Jelas sekali dia amat terkesan dengan perkara itu," katanya lagi.