RUSSIA 1 DENMARK 4

Denmark mengesahkan tempat dalam pusingan 16 Euro 2020 selepas membelasah Russia 4-1 di Copenhagen awal pagi tadi.

Selepas tewas 0-1 kepada Finland -- perlawanan yang dibayangi insiden serangan jantung Christian Eriksen -- dan 1-2 kepada Belgium, harapan Denmark untuk meneruskan kemaraan kelihatan agak tipis sebelum perlawanan di Stadium Parken itu.

Bagaimanapun, skuad kendalian Kasper Hjulmand itu mempamerskan aksi penuh menarik bagi meraih kemenangan pertama mereka dalam kejohanan itu -- dan mengesahkan tempat selaku naib juara Kumpulan B selepas Finland tewas kepada Belgium -- apabila Mikkel Damsgaard dan Yussuf Poulsen meletakkan mereka berkelebihan 2-0 sebelum sejam permainan.

Artem Dzyuba merapatkan jurang buat Russia menerusi sepakan penaltinya tetapi Denmark kemudian mengesahkan kemenangan pada lewat permainan melalui gol Andreas Christensen dan Joakim Maehle.

Kemenangan di ibu kota Denmark itu turut memastikan pertemuan mereka dengan Wales dalam pusingan 16 di Amsterdam hujung minggu ini.