Antonio Conte berpesan kepada Itali bahawa mereka perlu berwaspada dengan "kekuatan semula jadi" dimiliki Romelu Lukaku sambil melaungkan sokongan terhadap Roberto Mancini untuk menjadi watak penting menyingkirkan Belgium daripada Euro 2020.

Azzurri mara ke suku akhir dengan meneruskan rentak tanpa kalah mereka kepada 31 perlawanan dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Austria selepas masa tambahan di Wembley, Ahad lalu.

Belgium mengecewakan Portugal melalui jaringan tunggal Thorgan Hazard untuk mengadakan pertembungan dengan Itali di Munich, awal pagi ini.

Pasukan bimbingan Mancini itu menang 12 perlawanan berturut-turut, sementara The Red Devils kekal tanpa kekalahan selepas 13 perlawanan menjelang pertarungan mendebarkan di Bavaria berkenaan.

Lantaran itu, Conte percaya bahawa Itali perlu mencari jalan untuk mengekang Lukaku memandangkan cukup mengenali keupayaan penyerang sasa itu yang menjadi sosok penting buat Inter di bawah kendalian Conte yang menjulang kejayaan Serie A dengan merekodkan 24 gol musim lalu.

Lukaku juga telah membuktikan sentuhan berbisanya dengan merakamkan tiga gol dalam empat perlawanan Euro 2020 setakat ini.

Bagaimanapun, bekas pengurus Itali itu berpendapat Azzurri seharusnya memanfaatkan ketiadaan maestro tengah, Kevin De Bruyne; dan ketua pasukan, Eden Hazard, untuk menghumban Belgium.

Conte, yang meninggalkan Inter pada akhir musim 2020-21, berkata kepada Gazzetta dello Sport: "Ini merangkumi aspek psikologi dan sikap: campuran elemen ini amat diperlukan iaitu tumpuan, keinginan untuk membantu, kemampuan untuk menderita dan bersikap tidak mengalah.

"Setiap pemain harus mengorbankan diri demi pasukan. Terdapat tiga kualiti yang membezakan atlet atas dan yang biasa dalam bola sepak moden: kekuatan, kepantasan dan ketahanan.

"Saya tidak menyentuh soal kualiti teknikal yang saya sendiri sering utarakan. Semua ini menjadi asas dalam usaha mencapai keputusan getir.

"Pasukan kebangsaan kami telah membuktikan bahawa Mancini tahu bagaimana membangkitkan ekspresi pemain dan idea mengenai corak permainan yang jarang ditonjolkan oleh lawan. Banyak bergantung kepada tonggak penting, mampu menjadi penentu perlawanan atau hampir dengannya.

"Saya lihat beberapa pasukan kebangsaan handalan juga melakukan hal yang sama, merujuk kepada pasukan dilabel sebagai pilihan. Seteru seterusnya, Belgium, adalah sebuah pasukan yang mantap, baik dengan kebolehan individu dan berkumpulan.

"Lukaku memiliki kekuatan semula jadi, dia bergerak bersendirian tetapi saya menemui kelompongan berikutan ketiadaan De Bruyne dan Hazard yang mampu menawarkan keseimbangan kepada Itali untuk perlawanan ini.





"Saya sangat menghormati jurulatih (Roberto) Martinez atas sentuhannya kebelakangan ini tetapi persembahan mereka ketika menentang Portugal dalam fasa menyerang dan bertahan belum sepenuhnya meyakinkan saya.

"Tetapi Mancini tidak memerlukan nasihat saya kerana secara taktikalnya Itali tahu bagaimana untuk membuat persiapan menghadapi perlawanan ini seperti yang lain, Roberto (Mancini) akan menerapkan sebuah pasukan yang mampu berdepan dengan segala situasi."