Gareth Bale berharap usaha keras Wales ketika bangkit mengikat Switzerland 1-1 dalam perlawanan pertama Euro 2020 mereka dapat menjadi pemangkin untuk terus beraksi baik.

Kieffer Moore menanduk masuk jaringan penyamaan pada 16 minit terakhir bagi memadamkan gol pembukaan Breel Embolo dalam perlawanan pertama Kumpulan A di Stadium Olimpik Baku malam tadi.

Switzerland merekodkan percubaan yang sekali ganda lebih banyak daripada Wales dan menjaringkan satu lagi gol melalui percubaan Mario Gavranovic tetapi ia dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) sebelum Moore menyelamatkan satu mata berharga buat The Dragons.

Wales kini hanya tewas sekali daripada 14 perlawanan kompetitif -- kalah kepada Belgium pada Mac lalu -- dan Bale gembira pasukannya mempunyai sikap yang betul untuk terus berjuang dalam cuaca panas di Baku.

"Kedua-dua pasukan cuba untuk bermain, Ia agak tegang tetapi ini bukanlah keputusan yang buruk dan kami perlu mengambilnya secara positif," kata Bale kepada BBC Sport.

"Kami mahu memenangi perlawanan ini dan mempunyai peluang tetapi mereka juga sama.

"Apabila anda ketinggalan 0-1, (permainan) anda boleh musnah tetapi kami menunjukkan keberanian dan perwatakan seperti kebiasaan dan kami menunjukkan kelas kami dengan kebangkitan dan jaringan itu.

"Kami berusaha amat gigih. Amat sukar untuk melakukannya dengan cuaca sepanas ini. Saya amat berbangga dengan pemain kami. Selepas perlawanan ini, kami berkata yang kami perlu menggunakannya sebagai pemangkin.

"Kami kini perlu memulihkan diri dan bersedia untuk perlawanan berikutnya," katanya.

Wales seterusnya akan meneruskan aksi di Baku dengan menentang Turki, yang dibelasah 3-0 oleh Itali, awal pagi Khamis depan.