Legenda Iran, Ali Daei, mengucapkan tahniah kepada kapten Portugal, Cristiano Ronaldo, selepas menyamai rekod jaringan terbanyak peringkat antarabangsa miliknya yang sebelum ini tidak terusik sejak sekian lama.

Ronaldo menjaringkan dua gol sepakan penalti untuk kini secara keseluruhan menghimpunkan 109 gol buat Portugal ketika mengikat Perancis 2-2 untuk layak ke pusingan kalah mati Euro 2020 awal pagi tadi.

Pemain berusia 36 tahun itu kini hanya memerlukan satu gol lagi untuk mengatasi rekod Ali Daei, yang terlebih dahulu mencapai jumlah sama dari 1993 hingga 2006.

Daei segera memberikan responsnya terhadap kejayaan itu dan yakin namanya akan dipadamkan dalam buku rekod dunia tidak lama lagi.

A post shared by Ali Daei (@alidaei)


Bekas pemain yang kini berusia 52 tahun itu berkata dalam satu kiriman Instagram: "Tahniah buat @cristiano yang kini hanya dibezakan satu gol untuk memecahkan rekod jaringan antarabangsa terbanyak kategori lelaki.

"Saya berbangga kerana kejayaan hebat ini akan menjadi milik Ronaldo -- legenda bola sepak dan insan penyayang yang memberikan inspirasi dan impak terhadap kehidupan di seluruh dunia.

"Vamos!"

Ronaldo berpeluang untuk memecahkan rekod itu ketika bertemu Belgium dalam perlawanan pusingan 16 awal pagi Isnin ini selepas menamatkan saingan Kumpulan F di tangga ketiga.