MAN CITY 6 NOTT FOREST 0

Pep Guardiola melabel Erling Haaland sebagai permain berbakat istimewa selepas penyerang itu meledak hatrik dalam separuh masa pertama ketika Manchester City membelasah Nottingham Forest 6-0, awal pagi tadi.


Haaland mencatat purata gol setiap 43 minit sejak mewarnai kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk membuat permulaan paling prolifik dalam kariernya.

Gol ketiganya ke atas Forest menerusi tandukan jarak dekat selepas 38 minit perlawanan adalah jaringannya yang kesembilan dalam lima perlawanan liga untuk memperbaiki rekod lapan gol milik Sergio Aguero dan Micky Quinn menerusi lima penampilan pertama mereka dalam saingan itu.

Haaland hanya memerlukan 16 sentuhan untuk menjaringkan hatriknya, lantas Guardiola gembira melihat penyerang itu memecah satu rekod EPL dengan begitu awal.

“Saya tahu dia gembira dan menjaringkan gol tetapi saya fikir apa yang dia mahukan lebih sekadar kemenangan,” kata Guardiola kepada BT Sport.




"Rekodnya baik-baik saja, jika anda menarik balik rekod itu dan dia gagal menyumbat sebarang gol, maka kami tidak akan memenangi beberapa perlawanan. Saya pasti dia juga tidak akan menggemarinya.

"Dia seorang pemain berbakat istimewa, dia mempunyai deria gol yang luar biasa. Sentuhan pertamanya dalam permainan boleh bertukar gol, dia adalah Erling.

“Dia handal dalam semua aspek dan dalam erti kata lain, dia menghidu peluang di dalam kotak penalti tidak seperti orang lain dan penyudahnya sangat baik.

"Etika kerjanya juga bagus. Kami gembira dengan cara dia melakukannya."

Haaland bukanlah satu-satunya pemain baru City yang menjadi tajuk utama apabila rakan penyerangnya, Julian Alvarez, membuat permulaan EPL sulungnya dengan dua gol dalam babak kedua.