Erling Haaland menjadi pemain terpantas menjaringkan 20 gol dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas mencecah jumlah itu hanya dalam penampilannya yang ke-14 dalam kejohanan berkenaan.

Penyerang Norway itu menghasilkan golnya yang ke-19 dan 20 di peringkat Eropah ketika membantu Borussia Dortmund menyingkirkan Sevilla dalam perlawanan kedua pusingan 16 awal pagi tadi -- Dortmund mara dengan kelebihan agregat 5-4 biarpun pertemuan kedua itu berkesudahan 2-2.

Ia memastikan pemain berusia 20 tahun itu mengatasi rekod Harry Kane, yang menjaringkan 20 gol dalam 24 perlawanan pertama UCL.

Perlawanan dengan Sevilla itu turut menyaksikan Haaland menjadi pemain pertama menghasilkan jaringan berganda dalam empat perlawanan berturut-turut kejohanan itu selepas mula melakukannya dalam dua perlawanan menentang Club Brugge di peringkat kumpulan.

Dan selepas melakukan perkara sama ke atas Sevilla di Sepanyol dalam perlawanan pertama, dia mengulangi rekod cemerlang itu di Signal Iduna Park awal pagi tadi.