Pengurus Borussia Dortmund, Marco Rose, mendedahkan kecederaan pinggul akan menafikan kelibat Erling Haaland untuk beberapa minggu akan datang.

Penyerang itu baru kembali beraksi dalam kemenangan ke atas Mainz hujung minggu lalu selepas dibelenggu masalah otot yang menyaksikan dia terlepas tiga perlawanan.

Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu -- yang telah menjaringkan 13 gol dalam 10 penampilan merentasi semua pertandingan musim ini -- perlu bersedia untuk mengharungi satu lagi tempoh di tepi padang.

Ketika berucap kepada wartawan menjelang perjalanan Dortmund ke Arminia Bielefeld, malam ini, Rose berkata: "Erling Haaland tidak akan beraksi dan akan berehat selama beberapa minggu akibat kecederaan pinggul.

"Sudah tentu Haaland berasa kecewa. Dia gembira sebelum ini kerana dapat kembali dan masih berasa sangat sihat selepas menentang Mainz."






Rose mengesahkan Thomas Meunier dan Nico Schulz juga tidak akan dapat diturunkan hujung minggu ini gara-gara kecederaan.

Haaland kemudian berkongsi dengan peminat mengenai situasi semasanya apabila menulis kepada 1.3 juta pengikutnya di Twitter: "Masa untuk memberi tumpuan kepada pemulihan, saya akan kembali lebih kuat."

Dortmund berada di tangga kedua Bundesliga dengan 18 mata daripada lapan perlawanan pembukaan, hanya satu mata di belakang pendahulu dan juara bertahan, Bayern Munich.