Ejen kepada Christian Eriksen berkata pemain tengah Denmark itu sedang berada dalam keadaan baik dan dibenarkan oleh Inter Milan untuk mencari pasukan lain.

Eriksen mengalami serangan jantung dan rebah ketika perlawanan pembukaan Denmark menentang Finland dalam Euro 2020 pada Jun lalu sebelum diselamatkan pihak perubatan.

Pemain berusia 29 tahun itu kemudian terpaksa menggunakan alat pacu jantung (pacemaker) dan ia bermakna dia tidak dapat beraksi dalam Serie A berdasarkan peraturan kejohanan itu.

Inter mengeluarkan satu kenyataan semalam bahawa mereka sedang berusaha untuk menjual Eriksen kepada kelab dalam liga lain, di mana dia boleh dibenarkan untuk kembali beraksi.

"Walaupun keadaan terkini pemain itu tidak menepati keperluan kecergasan sukan yang ditetapkan di Itali, keperluannya berbeza di negara lain yang akan membolehkan pemain itu meneruskan aktiviti kompetitifnya," kata Inter dalam kenyataan itu.

Sebagai respons, ejen kepada Eriksen, Martin Schoot, berkata kepada Goal: "Kenyataan itu adalah satu mesej daripada syarikat FC Internazionale Milano SpA kepada pemegang taruh mereka.

"Setiap pemain memiliki nilai buku. Dan memandangkan Christian masih ada kontrak dengan kelab itu, secara teknikalnya dia masih memiliki nilai buku.

"Itulah yang boleh dikatakan, ia isu perakaunan dan tidak banyak melibatkan Christian.

"Christian dalam keadaan baik. Dia menghabiskan banyak waktu berkualitinya bersama keluarga. Dia sihat.

"Apabila ada lebih banyak berita, ia akan dimaklumkan," katanya.

Eriksen menikati karier gemilangnya di Ajax dan Tottenham sebelum menyertai Inter pada 2020.

Pemain tengah menyerang itu menjaringkan empat gol daripada 26 penampilan buat Nerazzurri sewaktu memenangi Scudetto musim lalu.