ASTON VILLA 2 BRIGHTON & HOVE ALBION 0

Steven Gerrard menikmati permulaan positif selaku pengurus dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membawa Aston Villa menewaskan Brighton and Hove Albion 2-0 lewat malam tadi.

Larian hebat dan penyudah dari luar kotak penalti yang dilakukan Olli Watkins pada enam minit terakhir di Villa Park meletakkan pasukan tuan rumah itu di depan.

Tyrone Mings kemudian memanfaat kesilapan pertahanan pelawat untuk menjaringkan gol dari jarak enam ela bagi memastikan kemenangan pasukannya, sekali gus menamatkan rentetan lima kekalahan buat Villa -- rekod buruk yang mengakibatkan bekas pengurus, Dean Smith, dipecat.

Gerrard -- yang mengambil alih pasukan itu selepas kempen cemerlang bersama kelab Scotland, Rangers -- menjadi pengurus Villa ketiga daripada keseluruhan 13 sepanjang era EPL memenangi perlawanan pertama selaku pengendali pasukan itu. Dua lagi individu yang pernah melakukannya ialah John Gregory (Februari 1998) dan Gerard Houllier (September 2010).

Keputusan itu turut menyaksikan Villa kini dibezakan empat mata daripada zon penyingkiran selepas 12 perlawanan.