Pemain Amerika Selatan dan Amerika Tengah, yang tidak mendapat pelepasan untuk beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Dunia oleh majikan mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), bebas beraksi dalam perlawanan minggu ini selepas negara mereka menarik balik permohonan hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pemain daripada Brazil, Mexico, Chile dan Paraguay kini bebas untuk beraksi selepas persatuan bola sepak negara mereka bersetuju untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemain yang tidak diberikan pelepasan oleh majikan masing-masing untuk menjalankan tugasan antarabangsa.

Bulan lalu, pasukan-pasukan EPL memilih untuk tidak membenarkan pemain mereka berkunjung ke negara yang berada dalam 'senarai merah' COVID-19 United Kingdom bagi perlawanan pusingan kelayakan Qatar 2022 memandangkan mereka yang berkunjung ke negara-negara berkenaan perlu dikuarantin selama 10 hari apabila pulang ke England.

Terdapat ura-ura bahawa pemain yang terlibat akan dibenarkan untuk beraksi tetapi tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat sebelum tengah malam waktu London.

Ini bermakna, pemain-pemain Brazil seperti Ederson, Gabriel Jesus (Manchester City), Thiago Silva (Chelsea) dan Fred (Manchester United) dapat diturunkan pasukan masing-masing minggu ini.

Antara pemain negara lain yang kini turut bebas beraksi adalah pemain Mexico, Raul Jimenez (Wolves), pemain Paraguay, Miguel Almiron (Newcastle United) dan pemain Chile, Francisco Sierralta (Watford).

Liverpool muncul pasukan paling lega dengan pengumuman ini memandangkan mereka boleh menurunkan Alisson, Fabinho dan Roberto Firmino untuk berdepan Leeds United.