"Mungkin pemain-pemain dan pengurus harus mogok beramai-ramai barulah pihak pengurusan liga akan ambil berat tentang kebajikan mereka!" ujar Pep Guardiola.

Menerusi kata-kata tajamnya seperti diterbitkan akhbar The Guardian, pengurus Manchester City itu menyatakan bahawa tuntutan ke atas pemain semakin lama semakin tidak munasabah saban tahun.
Malah, ia kelihatan seperti pihak pengurusan tidak ambil peduli tentang kesihatan semua pihak yang terlibat.

Namun, Pep pantas untuk menjelaskan bahawa biarpun tindakan mogok berkemungkinan diperlukan, dia sendiri tidak percaya ia bakal berlaku.

"Kata-kata dan perbincangan semata-mata tidak akan mendorong kepada sebarang penyelesaian.





"Sejujurnya, saya rasa mogok tidak akan terjadi kerana kami semua memang mahu turun ke padang.

"Masalahnya di sini adalah pihak liga mahukan pasukan-pasukan untuk mengambil bahagian dalam lebih banyak pertandingan, melibatkan diri dalam lebih banyak perlawanan tetapi enggan memberikan kami semua tempoh rehat yang lebih lama biarpun ini adalah musim perayaan.

"Sekarang, isu tentang kebajikan pemain berulang-ulang kali dibicarakan tetapi hakikatnya cuma satu -- bagi pihak FIFA, pihak Liga Perdana Inggeris dan pihak penyiaran, kelangsungan liga adalah jauh lebih penting daripada segala-galanya.

"Saya berikan satu contoh terbaik. Dalam liga bola sepak di seluruh dunia, lima pertukaran pemain dibenarkan tetapi di sini, pertukaran pemain kekal sebanyak tiga sahaja sejak dari dahulu lagi.

"Kebajikan pemain apa yang hendak dibicarakan jika perkara sebegini pun tidak berubah?" ujar Pep lagi dengan penuh sinis.

Kenyataannya disokong penuh oleh ketua eksekutif Perstuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional (PFA), Maheta Molango: "Pemain-pemain tidak akan merungut sebegini tanpa sebab yang kukuh.

"Saya sesungguhnya berharap agar pihak yang mengendalikan liga di semua peringkat mula memandang serius perkara ini supaya ia boleh diselesaikan secara baik, dengan meletakkan kepentingan pemain sebagai terasnya."




Dalam perkembangan terbaru, pihak pengurusan liga telah menolak permintaan Everton untuk menangguhkan perlawanan menentang Burnley sehari selepas Krismas biarpun The Toffees melaporkan lima pemainnya positif kes COVID manakala enam pemain lagi cedera.

"Saya menjangka kami akan diberikan penangguhan akibat daripada kecederaan dan kes-kes positif pemain kami, tetapi sebaliknya pula? Semestinya saya terkejut!

"Sekarang saya harus memikirkan bagaimana hendak mencukupkan kuota pemain untuk diturunkan dan kemungkinan besar saya harus membawa masuk sehingga lima pemain yang belum mencecah usia 21 tahun pun lagi," ujar pengurus Everton, Rafael Benitez.

Seperti yang dijangka, isu kebajikan pemain yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini semakin melarat dan sebarang bantuan yang diharapkan daripada pihak liga sememangnya tidak wujud.

Kesan kedegilan pihak liga untuk meneruskan juga perlawanan yang dijadualkan sepanjang tempoh perayaan Krismas ini dijangka bakal membawa lebih banyak kesan negatif dalam jangka masa panjang.

Sama-sama kita nantikan bagaimana nasib kesemua yang terlibat pada minggu akan datang.