Erling Haaland memberikan amaran buat Manchester United menjelang aksi 'derby' Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad malam esok dengan berkata dia bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pertahanan pasukan itu.

Penyerang berusia 22 tahun itu, yang menjaringkan 14 gol daripada sembilan perlawanan pertama buat kelab barunya itu, turut berkata bahawa dia tidak sabar untuk mencipta satu momen yang akan diingati dalam pertembungan setempat berkenaan.

Berdasarkan keyakinan yang dipamerkannya itu, barisan pertahanan Manchester United bimbingan Eric ten Hag sudah pasti akan berdepan tugas paling mencabar untuk mengekang penyerang kebangsaan Norway itu.

"Saya tidak sabar untuk beraksi dalam aksi 'derby' pertama saya mewakili Manchester City. Saya tidak sabar untuk menantikan ketibaan mereka ke stadium kami.

"Saya berharap semua orang di kelab ini bersedia untuk perlawanan ini dan menyerang pada masa sama.

"Saya harap kami dapat mempamerkan aksi terbaik. Jika dapat melakukannya, saya fikir ia akan menjadi satu hari yang amat-amat indah.

"Saya sudah bersedia untuk perlawanan ini, saya tahu bagaimana keadaannya.

"Tiada pertahanan yang saya tidak mahu hadapi," katanya.

Bapa Haaland, Alf-Inge, beraksi dalam 10 perlawanan 'derby' Manchester ketika mewakili City dari 1994 hingga 2001, termasuk dalam aksi terakhir ketika dia dicederakan oleh Roy Keane.

Bagi Haaland, itu bukanlah momen paling diingatinya sepanjang pertemuan dua pasukan itu dan bersedia untuk mencipta satu kenangan baru.

"Saya masih ingat ketika Mario Balotelli menjaringkan gol di Old Trafford dan meraikannya dengan 'Why Always Me'.

"Saya amat mengingatinya. Kini masa untuk mencipta kenangan baru," katanya lagi.