David de Gea meluahkan keinginannya untuk kekal di Manchester United bagi tahun-tahun mendatang menjelang tarikh tamat kontraknnya tahun depan.

Seandainya De Gea diturunkan dalam perlawanan menentang Newcastle United di Old Trafford malam ini, dia akan menjadi pemain ke-11 mencecah penampilan ke-500 dalam sejarah United.

Hanya Ryan Giggs, Sir Bobby Charlton, Paul Scholes, Bill Foulkes, Gary Neville, Wayne Rooney, Alex Stepney, Tony Dunne, Denis Irwin dan Joe Spence pernah mencapai tahap itu bersama The Red Devils.

Bagaimanapun, masa depan De Gea bersama kelab itu masih belum ada kepastian memandangkan masih belum ada kesepakatan baru dipersetujui kedua-dua pihak menjelang penghujung kontraknya pada 2023.

De Gea berharap akan berpeluang untuk kekal lebih lama di United dengan berkata: "Ini adalah kelab saya dan di sinilah saya berasa amat baik. Saya bermain dengan baik dan perasaan saya amat-amat baik.

"Saya fikir saya masih ada bertahun-tahun lagi di sini. Saya amat yakin.

"Benar, saya mahu kekal di sini untuk tahun-tahun akan datang dan mencipta sejarah dalam perlawanan dan sejarah dalam segala-galanya.

"Saya mahu membantu pemain muda di sini sambil meluaskan pengalaman saya dan memenangi trofi," katanya.