Pengendali Sang Badak, Steve Vilmiaire, mengakui pasukan itu tidak akan mampu lagi pergi jauh dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Sebaliknya, sasaran Sabah kini hanya bagi 'melepaskan diri' dari zon penyingkiran.

Selepas enam perlawanan, Sabah hanya mengutip tiga mata hasil satu kemenangan dan lima kekalahan, malah kini berada di tangga kedua tercorot liga.

"Setiap musim dengan pemain yang hampir sama, kami bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran.

"Jadi, musim ini ia akan berulang...jangan harap lebih daripada itu.

"Sudah pasti setiap kali sebelum musim bermula, kami berharap akan mampu buat yang terbaik tetapi pada akhirnya realiti mengajar kita.

"Selepas enam perlawanan, saya sudah dapat berasakan tahap bola sepak di Malaysia dan secara jujur saya katakan, ia sangat sukar untuk kami menyaingi pasukan terbaik buat masa ini," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Pengendali berusia 32 tahun itu berkata sasaran realistik Sabah ketika ini hanyalah untuk 'melepaskan diri' dari zon penyingkiran serta melangkah sejauh mungkin dalam Piala FA.

Bagaimanapun, Vilmiaire tetap berharap pemain-pemain akan terus berjuang dan tidak putus asa bagi menghadapi musim yang sukar ini.

"Sudah pasti kami mampu meningkatkan persembahan kami jika semua pemain bekerja keras, kami telah bermain enam perlawanan setakat ini dan masih ada banyak lagi perlawanan untuk kami ke arah itu."