ESPANYOL 0 BARCELONA 3

Luis Enrique berikrar Barcelona akan melakukan segala-galanya untuk memenangi LaLiga dan Copa del Rey apabila dia mendekati empat perlawanan terakhir sebagai pengurus gergasi Catalan itu.


Pengendali Barca itu akan meninggalkan jawatannya pada akhir musim ini, tetapi masih mempunyai tiga perlawanan LaLiga - dan perlawanan akhir Copa del Rey menentang Alaves -- sebelum tempoh perkhidmatannya di Camp Nou berakhir.

Luis Suarez menjaringkan dua gol dan Ivan Rakitic satu gol untuk menjamin kemenangan selesa 3-0 buat Barca ke atas pesaing setempatnya, Espanyol, pada awal pagi tadi, mengekalkan skuad Enrique di tangga teratas LaLiga -- walaupun skuad kedua, Real Madrid, kurang satu baki perlawanan.

Dan bekas pemain tengah Barca berkenaan, yang bersemangat dengan aksi pasukannya di Estadi Cornella-El Prat, menegaskan kemenangan itu meletakkan Barca di landasan sempurna untuk menuju ke peringkat akhir kempen.

"Kami mempunyai dua matlamat yang sangat jelas dan tepat -- liga dan piala -- dan kami akan memberikan segala-galanya," katanya.

"Saya amat gembira dengan pasukan. Pada separuh pertama, ia mungkin tidak berkesan atau menakjubkan, tetapi kami berjaya menewaskan Espanyol.

"Ia adalah satu aksi setempat dengan intensiti yang tinggi ditunjukkan kedua-dua pasukan, tetapi kami bermain sangat kemas.

"Tanpa prestasi itu, separuh masa kedua kami tidak akan menjadi. Kami tahu jika menetapkan kadar yang tinggi (intensiti) sepanjang 90 minit, kami akan mempunyai lebih banyak peluang.

"Kadar yang tinggi ini kemudian mengambil kesempatan di atas kesilapan mereka."

Rangsangan besar untuk Barca adalah jaringan Suarez pada separuh masa kedua sebelum menamatkan kemenangan lewat perlawanan.

Pemain Uruguay itu tidak menjaringkan gol dalam tiga penampilan LaLiga sebelum ini, tetapi Luis Enrique menegaskan dia tidak pernah meragui prestasi bekas penyerang Liverpool itu.

"Saya tidak bimbang mengenai Suarez kerana dia memberikan kami lebih banyak perkara daripada sekadar gol," katanya lagi.

"Tetapi ia jelas bahawa untuk penyerang, gol adalah penting. Dan ia jelas juga bahawa Suarez tidak akan gagal untuk menjaringkan gol."