Luis Enrique kekal optimis dengan peluang Barcelona melayakkan diri ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), malah yakin pasukannya mampu meledak enam gol berdepan Paris Saint-Germain di Nou Camp.

The Catalans dibedil 4-0 dalam aksi pertama di Parc des Princes, namun ia tidak mematahkan semangat untuk melihat kebangkitan yang dipamerkan oleh Barcelona.

"Masih berbaki 90 minit dan beberapa minit masa kecederaan untuk mengubah keputusan ini," kata Enrique.

"Kami perlu bertindak cemerlang dalam aspek menyerang serta bertahan, PSG merupakan lawan yang berkualiti.

"Ya, Barca ketinggalan jauh dalam saingan ini. Kami perlu meningkatkan mutu permainan dan cuba untuk mengubah keputusan perlawanan ini.

"Jika sebuah pasukan mampu jaringkan empat gol ke atas kami, kami mampu meledak enam gol ke atas mereka.

"Barca tidak pernah melalui situasi sebegini tetapi saya meletakkan keyakinan kepada mereka.

"Saya tidak berminat untuk menjadi sebahagian daripada sejarah. Tetapi saya yakin peluang kami masih terbuka."

Barcelona akan memerlukan Lionel Messi untuk mempamerkan aksi terbaik bagi mengubah nasib mereka tetapi Enrique menyatakan ia merupakan usaha daripada setiap anggota pasukan.

"Saya menyedari bahawa tumpuan terarah kepada Messi dan dia dilihat mampu mengubah nasib kami tetapi bola sepak memerlukan usaha daripada setiap pemain di dalam pasukan kerana usaha pasukan adalah yang paling penting."