Jordan Henderson berkata sasaran England adalah untuk menjadi pasukan pertama dalam dunia bola sepak untuk mencabar untuk menjuarai Piala Dunia.

Skuad kendalian Gareth Southgate mendahului Kumpulan F dan kini dalam landasan untuk mara ke Russia 2018 menjelang aksi berdepan Malta dan Slovakia.

England sering menamatkan saingan kelayakan dengan aksi mantap namun gagal meneruskan momentum ketika kejohanan sebenar bermula apabila kerap kali gagal melepasi peringkat suku akhir Piala Dunia dan Kejohanan Eropah sejak 1996.

Bagaimanapun, Henderson menegaskan mereka bersedia untuk memperbaiki rekod itu dalam beberapa tahun akan datang.

"Sebagai satu pasukan, itulah sasaran kami, mara ke Piala Dunia dan selepas itu kami mahu memberikan persembahan yang baik," kata kapten Liverpool itu.

"Kami telah berbincang sebagai satu pasukan dan kami mahu menjadi pasukan no.1 di dunia tidak kira berapa lama masa yang akan diambil.

"Saya berharap kami dapat melaksanakannya lebih awal. Saya tahu ia akan mengambil masa tetapi ketika ini kami memiliki skuad yang mantap dengan ramai pemain berbakat.

"Pada masa sama, kami gagal beraksi baik dalam beberapa kejohanan sebelum ini. Kami perlu mengubahnya.

"Paling utama, kami perlu memastikan kemaraan ke Russia. Kemudian mentaliti pemain perlu beruah. Kami beraksi hambar di Piala Dunia dan Euro dan itu satu cabaran buat kami."

Pemain berusia 27 tahun itu merupakan salah satu calon yang akan mengambil alih tugas kapten selepas Wayne Rooney mengumumkan persaraan.

Henderson -- yang pernah menyarung lilitan kapten ketika berdepan Slovenia dan Sepanyol sebelum ini -- berasa bangga seandainya diberi penghormatan itu namun menyedari terdapat saingan daripada calon lain antaranya, Harry Kane, Joe Hart dan Gary Cahill.

"Ia satu penghormatan," katanya.

"Ketika Gareth (Southgate) memberikan saya peluang menjadi kapten November lalu, saya rasa cukup berbangga sepertimana Harry yang turut pernah memikul tugas sama."