Tanggal 11 Jun 2021 memberikan igauan buat pencinta bola sepak England, terutama buat tiga individu -- Bukayo Saka, Marcus Rashford serta pastinya pengurus pasukan kebangsaan mereka, Gareth Southgate.

Tatkala berhadapan dengan tugasan untuk menyempurnakan sepakan penalti menentang Itali dalam final Euro 2020, Southgate meletakkan kepercayaan terhadap Saka dan Rashford biarpun ramai yang mengatakan tanggungjawab seberat itu tidak sesuai digalas oleh pemain muda dan kekurangan pengalaman.

Pada akhirnya, kedua-dua anak muda itu gagal membolosi jaring, dengan England kempunan dan Southgate menerima kecaman semua pihak akibat keputusannya itu.

Semalam, berselang hampir satu setengah tahun, di pentas yang jauh lebih besar, ketiga-tiga individu berkenaan akhirnya diberikan balasan atas kesabaran mereka.

Biarpun England gagal memperoleh kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut sebelum ini, mereka memulakan perjuangan dalam Piala Dunia dengan langkah kanan penuh bergaya apabila membenam wakil Asia, Iran, 6-2.

Saka meraih anugerah ‘Pemain Terbaik Perlawanan' dengan persembahan penuh bertenaga di samping menjaringkan dua gol cantik untuk meletakkan pasukannya selesa di hadapan.




Gol pertamanya hadir menerusi sepakan voli yang hinggap tepat ke sudut atas kanan gawang Iran manakala gol kedua dijaringkan menerusi gelecekan cantik yang ternyata menunjukkan dirinya tidak gugup biarpun beraksi di pertandingan terbesar dalam dunia bola sepak.

Buat Southgate, meskipun tidak henti-henti dikritik, dikecam dan diremeh-remehkan oleh pelbagai pihak yang kebanyakannya berasal dari negara sendiri, beliau membuktikan percaturan taktikalnya masih kekal berbisa dan menghadiahkan keputusan yang didamba-dambakan.

Menurut akhbar Daily Mail, kejayaan semalam secara rasminya menjadikan Southgate sebagai pengurus dengan rekod kemenangan paling banyak dalam pertandingan besar -- mengatasi rekod yang dahulunya dipegang oleh Sir Alf Ramsey.




Strategi Southgate memasukkan pemain gantian yang dirasakannya paling bersesuaian pada detik tertentu membuahkan hasil serta-merta.

Rashford hanya memerlukan tempoh 49 saat selepas dimasukkan untuk membolosi jaring manakala seorang lagi pemain gantian, Jack Grealish, menutup tirai dengan jaringan terakhir England pada minit ke-90.

Jude Bellingham, pemain yang baru berusia 19 tahun dari kelab Borussia Dortmund, turut menyinar melalui persembahan yang cukup mantap dan bertenaga manakala penyerang nombor satu England, Harry Kane, cemerlang dengan menghasilkan dua bantuan jaringan buat rakan sepasukan.

Hampir setiap penjuru pasukan England menunjukkan perkembangan menakjubkan, namun perhatian tetap harus diberikan kepada barisan pertahanan yang bolos dua gol.

Ia menyerlahkan kelonggaran yang boleh memakan diri jika tidak ditangani dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.




Kerisauan turut hadir daripada segi kecederaan yang melibatkan pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire serta Kane.

Maguire terpaksa ditukarkan sebaik selepas England bolos gol pertama, akibat disyaki mengalami konkusi manakala Kane dilihat terhincut-hincut akibat kecederaan pergelangan kaki.

Tidak kira apa pun, pengalaman pahit yang menghantui kekalahan lalu telah pun diatasi, sekurang-kurangnya buat sementara waktu.

Dan apa yang pasti, England bakal dipandang sebagai pasukan cukup berbahaya mulai saat in