Walaupun nasib Sarawak United ibarat sudah jatuh ditimpa tangga tetapi pengendalinya, E. Elavarasan tetap mempunyai keazaman tinggi untuk memastikan tiga mata dibawa pulang dalam perlawanan terakhir dari Stadium Larkin, malam esok.

Skuad Enggang Emas bukan sahaja kehilangan penjaga gol, Sharbinee Allawee, malah dua lagi pemain pertahanan, Badrul Affendy Fadzli dan Samer Saidin, untuk menghadapi Johor Darul Takzim (JDT II) ketika mereka masih bersaing merebut gelaran Liga Perdana musim ini.

"JDT II bukan calang-calang pasukan untuk dihadapi, ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar dan peluangnya adalah 50-50.

"Mereka berkelebihan di tempat sendiri dan mereka juga memiliki mempunyai rekod tekal jadi bukan senang untuk berdepan mereka.

"Kami akan pamerkan aksi terbaik dan saya pasti mereka juga begitu," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Terdahulu, Sarawak United tempang Sharbinee kerana dilayangkan kad merah ketika menentang Negeri Sembilan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 10 September lalu.







Namun, mereka mendapat khabar buruk Sabtu lalu apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan dua lagi pemain turut dikenakan hukuman penggantungan perlawanan berkuat kuasa serta-merta.

Mereka didapati bersalah menyerang pengadil dalam aksi menentang skuad Jang dan situasi itu sudah pasti menyukarkan peluang untuk perebutan gelaran Liga Perdana musim ini.

"Secara matematik, Negeri Sembilan mempunyai kelebihan satu mata dan berdasarkan perlawanan terakhir, mereka memang mengerahkan segala kudrat.

"Kami akan berdepan PDRM yang juga bukan merupakan sebuah pasukan yang biasa-biasa dan sangat tekal meraih keputusan (positif).

"Ia bergantung kepada tahap persembahan kami pada malam esok," katanya.