Sekurang-kurangnya empat jurulatih telah menyatakan hasrat dan minat untuk menggantikan David Usop sebagai pengendali utama skuad Bujang Senang pada musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima dua permohonan yang menyatakan hasrat tersebut.

"Salah satu 'resume' ini diterima daripada seorang jurulatih Eropah yang kini menabur bakti bersama-sama sebuah kelab ternama di Filipina.

"Seorang lagi adalah daripada bekas pemain Sarawak yang kini bertindak sebagai penolong jurulatih Felda United," katanya lagi.

Menurut sumber, dua lagi nama dalam senarai pencalonan ialah Mohamad Mentali, jurulatih berpengalaman Sarawak sejak 30 tahun lalu dan bekas penolong jurulatih kepada Alan Vest, Lucas Kallang.

Kata Posa, beliau ada mendengar tentang minat dua jurulatih tempatan ini, namun masih belum menerima sebarang 'hitam putih'.

Skuad Ngap Sayot yang kali pertama menang di tempat sendiri dalam Liga Super pada aksi terakhir menentang Pulau Pinang, kini dikendalikan sementara oleh Pengiran Bala selepas jurulatih, David Usop, mengambil keputusan berehat susulan prestasi buruk.

"David masih bersama kita," kata Posa lagi.

Kedudukan David, katanya, akan ditentukan selepas Mesyuarat FAS sebelum atau selepas Liga Super berakhir.

"Kita juga mahu melihat kedudukan akhir pasukan, sama ada kekal atau tidak dalam Liga Super pada musim depan sebelum membuat sebarang keputusan.

"Pada masa yang sama, kita akan mengkaji permohonan yang telah diterima."

Posa menjelaskan keutamaan ketika ini adalah kepada jurulatih tempatan dan Pengiran Bala adalah salah seorang daripadanya.

"Yang penting, kita akan mengkaji dan menilai prestasi akhir pasukan sebelum menetapkan sebarang keputusan berkaitan pelantikan jurulatih mahupun pembelian pemain," katanya lagi.

Kredit foto: Facebook Official Sarawak FA