"Mereka sudah pulih." Itu kesimpulan David Usop terhadap anak-anak buahnya di sebalik kegagalan dalam aksi menentang Kedah yang menyaksikan Sarawak tumbang 3-2.

Biarpun kecewa, namun beliau berharap anak-anak buahnya dapat menjadikan perlawanan tersebut sebagai pengajaran penting.

"Kebanyakan mereka adalah pemain muda. Kekalahan dalam tempoh dua minit itu adalah begitu berharga buat mereka.

"Kami menang selama 70 minit pertama tetapi tumpas dua minit selepas itu," katanya.

Lebih mengecewakan, katanya, selepas gol penyamaan pasukan lawan, motivasi dan semangat semangat anak buahnya bagaikan diragut.

"Mereka hilang fokus sehingga menyebabkan lawan berjaya menjaringkan gol kemenangan tanpa dicabar.

"Kebangkitan selepas itu adalah agak terlambat kerana lawan telah mendahului."

Justeru, David berharap kesilapan tersebut tidak akan berulang lagi.

Mengulas pertemuan dengan Pahang, Sabtu ini, David yakin anak-anak buahnya dapat memberikan saingan yang menarik.

"Dollah Salleh merupakan jurulatih berpengalaman dan terkenal dengan corak permainan terbuka. Pahang memiliki pemain yang berkemahiran seperti Joseph Kalang Tie.

"Oleh kerana itu, kami harus mengawal lebih ketat pergerakan mereka bagi mengelak mereka memiliki ruang untuk mengasak."

Katanya, Sarawak tidak memiliki "senjata istimewa", namun mengharapkan aksi penyerang-penyerang mudanya untuk menghadirkan peluang dan menjaringkan gol pada malam tersebut kelak.

Mengenai kesebelasan utamanya, David berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan.

"Kami masih menunggu keputusan ujian imbasan Mateo Roskam manakala Tommy Mawat Bada dan Ramesh Lai Boon Huat masih dalam proses pemulihan.

"Nur Syahmie Iszuan pula baru kembali daripada kem kebangsaan dan masih belum dipastikan perkembangannya."