Kejohanan e-Liga Bolasepak Malaysia (EMFL) Liga Super musim kedua tampil lebih berprestij apabila menawarkan hadiah terkumpul bernilai RM50,000.

Ia secara tidak langsung menjadi hadiah kemenangan tertinggi dalam e-sukan bagi permainan FIFA 21 di Malaysia.

Majlis pelancaran dan undian EMFL Liga Super berlangsung di Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini dengan kejohanan e-sukan bola sepak itu bakal membuka tirai bermula 20 April sehingga 9 Mei depan.

Format musim ini terbahagi kepada dua peringkat, 12 pemain terbaik terpilih berdasarkan ranking rasmi fifa global series dan pasukan yang diwakili mereka diundi secara rawak.

Kempen akan dilangsung secara liga dengan 22 perlawanan sebelum ke pusingan akhir yang membabitkan lapan terbaik.

Bagi MFL yang kekal selaku pemegang hak rasmi kejohanan, kenaikan wang kemenangan itu bukan sahaja menyuntik moral pemain malah menambah nilai prestij kejohanan permainan konsol berkenaan.

"Tahun ini EMFL terbesar yang dianjurkan tidak termasuk Piala Malaysia pada Ogos datang.

"Dalam keadaan COVID-19, kami ingin menaikkan nilai komersial dalam EMFL, maka nilai kemenangan ditingkatkan," kata Ghani dalam sidang akhbar hari ini.



EXTRAVAGANZA UNIFI EMFL LIGA SUPER KALI KEDUA KUMPUL HADIAH KESELURUHAN SEBANYAK RM50,000 Malaysian Football League...

Posted by Malaysian Football League on Tuesday, April 13, 2021


Selain kenaikan hadiah wang terkumpul sebanyak 10 kali ganda berbanding musim lalu, ia juga menawarkan slot ke e-Piala Dunia FIFA 2021.

"Juara peringkat kalah mati (kedua) akan layak bermain dalam slot play-off Asia Timur, seterusnya ke E-Piala Dunia FIFA 2021, " kata Pengarah Urusan Gamesbond Global Sdn. Bhd, Fazli Razak.

Sementara itu, pemain profesional FIFA negara, Muhammad Luqman Haziq Hajiman, mahu menampilkan aksi terbaik dalam musim kedua dan komited menyaingi kehebatan pemain muda meningkat naik termasuk juara musim lalu, Faiz Hariry.

Senarai 12 pemain:

P3rlis : Kuala Lumpur City
Roshand : Terengganu FC
Rajabola : Petaling Jaya City
Imrandeen : Sri Pahang
Si Jali : Johor Darul Ta'zim
Favlain : Sabah FC (juara bertahan)
Shige : Penang FC
LuqmanHZQ : UiTM FC
AkmalJHD : Perak FC
Syumaijing : Kedah Darul Aman
Ayen : Melaka United
Chamack : Selangor FC