Unai Emery tidak percaya Hector Bellerin berupaya beraksi dalam kesebelasan utama menjelang aksi berdepan Manchester United walaupun kembali ke padang, awal pagi tadi.

Pemain pertahanan itu diketepikan sejak Januari lalu akibat kecederaan lutut tetapi menamatkan penantian itu apabila masuk dari bangku simpanan ketika Arsenal menewaskan Nottingham Forest 5-0 dalam saingan Piala EFL.

Pemain berusia 24 tahun itu menggantikan nama baru yang tampil buat kali pertama, Kieran Tierney, pada minit ke-77 dan memberi impak pantas, dengan membantu Joe Willock menghasilkan gol ketiga.

Bellerin menjadi pilihan utama dalam skuad Arsenal sebelum ditimpa kecederaan tetapi pengendali, Emery, tidak bercadang untuk menggunakan khidmatnya secara tergesa-gesa dalam aksi di Old Trafford, awal pagi Isnin ini.

Ditanya tentang Bellerin, Emery memberitahu wartawan: "Dia mahu beraksi 90 minit. Dia memberitahu sudah sedia dan mahu beraksi.

"Saya fikir tidak perlu untuk dia turun menentang United. Mungkin dia rasa boleh tetapi kami mendengar nasihat doktor.

"Beberapa minit pertama memang hebat buatnya. Apa yang penting adalah disiplinnya. Dia mahu membantu kami."

Rob Holding turut kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan lutut yang memaksanya diketepikan 10 bulan sebelum ini dan dia menjaringkan gol kedua menerusi tandukan.

"Sememangnya sempurna untuk memiliki bayak pilihan di posisi bek tengah. Semangatnya sepanjang perlawanan sentiasa positif. Setiap hari dia membantu kami dalam latihan untuk meningkatkan persembahan," tambah Emery.

"Dia perlu mendapatkan waktu bermain serta keyakinan. Ia aksi sempurna. Dia sedikit penat di penghujung perlawanan tetapi gembira."