Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, berkata Presiden Real Madrid, Florentino Perez, patut ditanya mengenai kemungkinan Los Blancos akan mendapatkan khidmat Neymar.

Pemain skuad Brazil itu hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Santiago Bernabeu walaupun baru sahaja berhijrah ke Paris pada musim panas lalu menerusi yuran perpindahan yang memecahkan rekod dunia.

Pertahanan Madrid, Dani Carvajal, mendedahkan dia akan mendapatkan tandatangan Neymar untuk Madrid sambil Casemiro menyatakan keyakinan bahawa rakan senegaranya itu mampu beraksi bersama Cristiano Ronaldo.

Bagaimanapun, Neymar kini sedang berehat akibat patah tulang pada bahagian kaki dan Perez dilaporkan telah bertemu bapa bekas pemain Barcelona itu di Brazil, membuatkan Emery tidak lagi mahu menjawab sebarang persoalan mengenainya.

“Saya rasa saya telah menjawab soalan ini hampir 30 kali ketika sidang media,” kata Emery dalam satu sidang media, semalam.

“Perancangan masa depan PSG melibatkan penglibatan Neymar dan untuk ke Madrid, saya tidak tahu. Anda harus bertanya kepada Perez.”

PSG akan bertandang ke Nice esok untuk meneruskan penguasaan di takhta liga selepas meraih kelebihan 17 mata mengatasi juara bertahan, Monaco.