Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan kelab itu akhir musim ini.

Emery menyertai gergasi Paris itu pada Jun 2016 selepas memimpin Sevilla menjuarai tiga gelaran Liga Europa berturut-turut.

Kejayaan di peringkat Eropah terus menggoda PSG dan pemiliknya dari Qatar, dengan gelaran Liga Juara-Juara masih menjadi keutamaan mereka.

Bagaimanapun, dia bergelut untuk membawanya ke Parc des Princes. Musim lalu, PSG menjadi mangsa kebangkitan semula Barcelona yang menterbalikkan defisit 4-0 dalam perlawanan pertama untuk mara ke suku akhir.

Dan mereka tewas dalam pusingan 16 sekali lagi, kali ini kepada Real Madrid.

Kekalahan kepada Madrid dilihat sebagai faktor Emery menamatkan tugasnya walaupun pasukannya merampas gelaran Ligue 1 daripada Monaco pada awal bulan ini.

Spekulasi yang mendakwa dia sedia dipecat semakin kuat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan bekas bos Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, dilaporkan bakal menjadi penggantinya.

Tetapi Emery memilih untuk meninggalkan pasukan.

Bercakap dalam sidang akhbar menjelang pertembungan di antara PSG dan Guingamp, Isnin ini, Emery berkata: "Saya sudah bercakap tentang pemergian saya kepada pemain.

"Saya berterima kasih kepada presiden, Nasser Al-Khelaifi; pengarah sukan, Antero Henrique, penyokong dan pemain untuk dua musim lalu."