Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, memuji prestasi anak buahnya kerana mempamerkan aksi positif ketika melakar kemenangan 2-1 ke atas Lorient dalam Ligue 1, semalam.

PSG bangkit selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara dengan keputusan yang memalukan kepada Barcelona, menyaksikan juara Perancis itu tewas 6-1 di Nou Camp.

Jaringan sendiri Benjamin Jeannot dan gol pertama Christopher Nkunku dalalm saingan Ligue 1, memberikan PSG tiga mata penuh.

Kemenangan di tempat lawan memastikan PSG kekal ketinggalan tiga mata kepada pendahulu liga, Monaco, dan Emery menghamburkan pujian terhadap aksi yang dipamerkan oleh pasukannya.

"Pemain-pemain yang mendominasi sepanjang permainan," kata Emery.

"Kami meraih keputusan 2-0 dan berjaya memastikan gawang kami tidak dibolosi, kami menyekat setiap peluang pasukan lawan untuk menghasilkan peluang.

"Ini merupakan tiga mata yang berharga buat kami.

"Saya sangat gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh pasukan saya."

Selepas meledak gol pertamanya dalam Ligue 1, ia merupakan satu kelegaan buat pemain, Nkunku, selepas mereka dimalukan oleh Barcelona.

"Ini merupakan kemenangan yang penting. Kami benar-benar mahu beraksi dengan baik dan melupakan apa yang berlaku pada Rabu," katanya.

"Kami mahu melihat ke hadapan dan melupakan kekecewaan ini. Kami memulakan semula dengan kemenangan dan itu yang telah kami lakukan."