Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, tidak fikir keletihan menjadi isu dalam pemburuan meraih gelaran Ligue 1.

Pendahulu kancah liga Perancis, AS Monaco, nyaris ditimpa kekalahan kepada Dijon, hujung minggu lalu, selepas dikerah beraksi hanya berselang tiga hari selepas menewaskan Borussia Dortmund 3-2 dalam kempen Liga Juara-Juara.

Jaringan pada babak kedua oleh Nabil Dirar dan Radamel Falcao menyaksikan pasukan kendalian Leonardo Jardim itu bangkit memastikan kemenangan 2-1 untuk kekal menerajui puncak dengan tiga mata di hadapan PSG.

Dengan Monaco masih berjuang untuk meraih kejuaraan dalam tiga kejohanan, jadual padat mereka secara tidak langsung boleh menjadi kelebihan untuk PSG.

Bagaimanapun, Emery tidak percaya peranan Monaco dalam kancah Eropah akan membantu juara bertahan itu, yang hanya satu mata di hadapan Nice untuk menduduki tempat kedua.

"Satu lagi hari perlawanan telah berlalu dan kedudukan masih sama. Apa yang jelas, kami hanya perlu melakukan tugas kami, juga untuk menjauhi Nice," ujar Emery dalam sidang akhbar menjelang perlawanan dengan Metz, esok.

"Monaco sudah terbiasa beraksi dalam banyak perlawanan, seperti juga kami. Monaco mengalami sedikit kesukaran kerana Dijon menampilkan prestasi yang hebat, bukan kerana mereka letih.

"Setiap lawan yang bertandang ke sana hadir dengan matlamat untuk memenangi permainan. Ia menjadikan perlawanan agak sukar, bukan kerana keletihan.

"Monaco, Nice dan PSG, kami semua bersedia untuk menghadapi setiap perlawanan.

"Objektif kami adalah untuk membuat persiapan dengan baik dan untuk mengalahkan Metz. Setiap perlawanan adalah sukar, kami perlu menghormati lawan kami."

PSG akan turun tanpa Layvin Kurzawa, Julian Draxler dan Hatem Ben Arfa akibat kecederaan manakala Grzegorz Krychowiak diketepikan atas sebab-sebab taktikal.