Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, mendedahkan bahawa Kylian Mbappe berharap agar dapat menyertai Real Madrid atau Barcelona berbanding kelab gergasi Perancis itu.

Mbappe tiba di Paris pada awal musim ini menerusi tiket pinjaman dari Monaco sambil disertakan pilihan untuk pembelian tetap pada musim berikutnya sebelum menjadi watak utama dalam dominasi PSG di pentas domestik apabila mencatat 21 gol dalam semua kejohanan.

Bagaimanapun, Emery, yang akan menamatkan khidmat selama dua tahunnya bersama juara Ligue 1 itu pada akhir musim ini, mendedahkan bahawa pemain berusia 19 tahun itu pada mulanya tidak mahu berhijrah ke Paris.

“Apabila saya menemui bapa dan dirinya sendiri di rumah, Mbappe mahu menyertai Madrid atau Barca dan saya adalah individu yang meyakinkannya untuk berada di Perancis,” kata Emery kepada SFR Sports.

“Secara umumnya, pemain Perancis sepertinya yang baru berusia 18 tahun dan semakin menyinar mahu meninggalkan Perancis dan anda harus berbangga apabila melihat Mbappe berada bersama PSG.

“Warga Perancis tentunya gembira melihatnya kekal di Perancis kerana sebelum ini, pemain seperti Thierry Henry telah berhijrah ke England atau Sepanyol,” ujarnya.

Emery memegang jawatan selaku pengurus PSG sejak dua musim lalu selepas mengharungi tempoh yang membanggakan bersama Sevilla, namun bergelut dalam musim pertamanya
.
Walaupun telah berkembang dengan baik dalam tahun kedua apabila meraih tiga kejuaraan tempatan, dia tetap akan digantikan.

Pengurus yang pernah mengendalikan Valencia itu menyifatkan dia mengalami kesukaran untuk berhubung dengan pemain-pemainnya ketika di Perancis, dengan menamakan Thiago Silva sebagai contoh.

“PSG adalah pasukan yang mewakili Paris dan Perancis. Warga di sini lebih senyap, seimbang, memiliki personaliti yang sukar dijangka dan tidak mudah untuk berurusan dengan situasi itu.

“Saya tiba di sini sambil meneruskan apa yang dilakukan ketika di Sevilla dan selepas itu, saya menyesuaikan diri dengan pasukan kerana mereka tidak dapat mengikuti tahap agresif yang saya bawakan,” ujar Emery.

“Separuh daripada skuad berusaha melalui kekerasan sambil bakinya lebih mahukan pendekatan yang santai.

“Bersama Silva, kami banyak berbincang dalam tempoh dua tahun ini kerana dia adalah kapten pasukan. Tahun lalu, saya menjangkakan sesuatu yang lebih baik daripadanya.

“Saya bercakap dengannya sambil memintanya mengubah beberapa perkara. Selepas berbincang dengan presiden, pendapat saya mengatakan bahawa jika Silva tidak berubah, dia perlu meninggalkan pasukan.”