Pengurus Arsenal, Unai Emery, masih meragui kemampuan pasukannya untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris walaupun skuad kendaliannya membelasah Fulham 5-1 di Craven Cottage, semalam.

Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang masing-masing menyumbat dua gol dan rembatan kencang Aaron Ramsey membolehkan Arsenal mencatat kemenangan kesembilan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Kemenangan itu melonjcakkan Arsenal ke tangga keempat liga tetapi Emery menegaskan pemain-pemainnya perlu membuktikan mentaliti kemenangan dalam aksi seterusnya.

"Apabila kami tewas dalam dua aksi pertama berdepan Manchester City dan Chelsea, kami tetap tenang," kata Emery.

"Kini, kami berada di landasan kemenangan, saya rasa kami perlu kekal dengan mentaliti ini. Kami akan terus mendaki carta sedikit demi sedikit untuk mendapatkan posisi terbaik. Ia menjadi objektif kami.

"Saya hanya memikirkan perlawanan seterusnya di Emirates bersama penyokong. Kami mahu membuktikan kepada mereka bahawa kami sedang terus berkembang berbekalkan kualiti, mentaliti dan segala komitmen.

"Kami gembira. Kami harus terus bersatu di kelab dalam kalangan pemain-pemain.

"Bertenang, nikmati tugas, kekal bersatu dan sentiasa percaya akan penyokong tetapi terus tingkatkan aspek individu serta persembahan terbaik secara menyeluruh.

"Kami harus terus bekerja keras dan meningkatkan prestasi."

Sementara itu, pemain tengah The Gunners, Lucas Torreira, muncul kunci utama di bahagian tengah Arsenal dan Emery pantas memuji kelibat bekas perancang Sampdoria itu.

"Dia masih muda, ini adalah pengalaman pertamanya di peringkat ini tetapi dia pernah beraksi di Itali dan bersama skuad kebangsaan," tambah Emery.

"Dia melakukan tugas dengan baik. Penampilan hebat ini adalah hasil daripada usahanya yang sentiasa mahu mendengar dan belajar.

"Dia beraksi di tengah, kanan dan persembahannya tetap sama. Kariernya telah bermula dan kami mahu Torreira mempamerkan persembahan terbaik serta kualiti yang dimilikinya."