Unai Emery meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengadil, Deniz Aytekin, selepas Barcelona menghasilkan kebangkitan dramatik untuk menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Aksi pertama pusingan 16 menjadi milik PSG dengan kemenangan 4-0 dan ketika Barca sedang mendahului 3-0, Cavani berjaya meledak gol di tempat lawan, sekaligus bermakna pasukan tuan rumah memerlukan tiga gol untuk mara.

Bagaimanapun, dua gol oleh Neymar dan gol kemenangan oleh Sergi Roberto mengesahkan kebangkitan Barcelona dalam aksi kedua untuk menang 6-1, sekaligus mara ke suku akhir dengan kemenangan agregat 6-5.

Barca membuka tirai jaringan dengan sepakan penalti Lionel Messi, namun keputusan pengadil menjadi fokus kekecewaan Emery yang bertegas pengadil berat sebelah.

"Pengadil menganugerahkan dua sepakan penalti kepada mereka dan kami sepatutnya mendapat satu sepakan penalti," katanya.

"Kami sedar kami mampu memenangi perlawanan ini tetapi keputusan pengadil memberi kesukaran terhadap pasukan.

"Kami mendapat dua peluang keemasan melalui Angel Di Maria dan Cavani tetapi dalam lima minit terakhir, segala-galanya berlaku.

"Ketika membuat analisis, kami sedar kegagalan menyudahkan peluang adalah antara punca kami tewas.

"Dalam babak pertama, kami gagal memberi tekanan kepada Barcelona. Barisan pertahanan terlalu ke bawah sehingga membuka ruang kepada lawan untuk menyerang. Dua gol dalam babak pertama berpunca daripada kesilapan kami.

"Pemain saya lebih tenang memasuki babak kedua. Kami sepatutnya meledak gol kedua.

"Keputusan pengadil tidak menyebelahi kami dan di hujung perlawanan, kami kehilangan segala-galanya.

"Ini adalah pengalaman yang cukup negatif buat saya dan pasukan ini. Kami menerima pengajaran bermakna."