Unai Emery enggan menuding jari terhadap pengadil di sebalik Paris Saint-Germain (PSG) terikat seri 0-0 dengan Toulouse, semalam.

PSG mendapati beberapa tuntutannya untuk mendapatkan sepakan penalti tidak diendahkan, menyebabkan mereka keciciran dua mata berharga dalam perebutan kejuaraan Ligue 1 tetapi Emery bertegas bahawa pengadil, Mikael Lesage, tidak mempengaruhi keputusan perlawanan.

“Saya tidak fikir keputusan-keputusan pengadil membawa kepada keputusan seri ini. Dia membuat keputusannya berdasarkan apa yang dilihatnya,” katanya selepas perlawanan di Parc des Princes itu.

“Saya fikir kami berhak untuk menang tapi kami gagal meruntuhkan pertahanan Toulouse.

“Kami kekurangan sedikit serba-serbi. Kami sebuah pasukan yang bagus tapi kami memerlukan lebih sedikit untuk memenangi perlawanan seperti ini.

“Saya fikir pasukan ini telah menunjukkan kemajuan musim ini tapi kami masih mempunyai kerja untuk dilakukan. Kami terlepas peluang besar untuk mendekati Monaco tapi kami perlu terus berikhtiar.

“Saya menampilkan pasukan yang memiliki kualiti untuk menang. Sesetengah pemain memerlukan rehat manakala yang lain siap-sedia untuk bermain.”

PSG – yang membelasah Barcelona 4-0 dalam Liga Juara-Juara, Selasa lalu – menduduki tangga kedua liga, dipisahkan tiga mata dengan Monaco.